Pameran
Terokai Istana
Dewan Cina

Dewan ini telah siap dibina pada tahun 1875 oleh kontraktor Wong Ah Fook dan dirasmikan oleh DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar pada 20 September 1875. Gabenor Sir William Jervois merupakan antara dif kehormat yang hadir ke Majlis Perasmian yang penuh dengan adat istiadat Melayu tersebut. Masyarakat Cina diketuai Major Cina, Dato’ Tan Hiok Nee dibantu Kapitan Cina, Seah Thye Heng antara yang berjasa dalam pembinaan bangunan ini. Sebanyak dua puluh enam (26) batang papan rangkap bertulisan cina menghiasi setiap tiang dewan ini merupakan persembahan hadiah tanda penghargaan kepada DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar oleh taukeh Cina Johor dan Singapura.
Pada tahun 1876, dewan ini dijadikan sebagai pusat pentadbiran Negeri Johor sebelum berpindah ke Bangunan Sultan Ibrahim. Kini, Dewan Cina digunakan untuk istiadat rasmi seperti Majlis Bacaan Doa Sempena Hari Keputeraan Sultan Johor dan Majlis Perkahwinan DiRaja. Bagi mengekalkan fungsinya sebagai sebahagian daripada Muzium DiRaja Abu Bakar galeri pameran di dewan ini menampilkan kronologi sejarah Kesultanan Johor Moden.