Pameran
Terokai Istana
Bilik Singgahsana

Di Bilik Singgahsana (dahulunya dikenali sebagai Bilik Besar) ini tersergam sebuah Takhta Kerajaan Johor berpuncakkan simbol jata kerajaan negeri
dengan seru “Kepada Allah Berserah”. Bilik Singgahsana yang gah ini masih digunakan untuk istiadat rasmi seperti Istiadat Kemahkotaan, Istiadat Kurniaan Darjah dan Pingat, Istiadat Persandingan DiRaja serta persemayaman jenazah Sultan dan kerabat DiRaja Johor. Dinding Bilik Singgahsana pula dihiasi dengan potret-potret Sultan Johor dan suri Baginda. Di sebelah barat Bilik Singgahsana, terdapat Bilik Beradu, Bilik Istirehat, Bilik Menunggu, Bilik Mesyuarat Jumaah Majlis DiRaja, Bilik Santapan serta Perpustakaan yang dilengkapi dengan perabot-perabot yang ditempah khas oleh Almarhum Sultan Abu Bakar. Di Bilik Singgahsana ini juga diabadikan sejarah Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor dalam galeri pameran yang dinamakan Galeri Kemahkotaan.
Dewan Santapan

Dewan Santapan terletak di bahagian timur bangunan asal Istana Besar Johor dan telah dibina pada tahun 1912 dibawah kelolaan Dato’ Yahya bin Awaluddin. Sejak disempurnakan pembinaannya, dewan ini digunakan untuk majlis-majlis Santapan DiRaja, Jamuan negeri, persemayaman jenazah Sultan dan kerabat DiRaja Johor serta untuk upacara menandatangani surat pelantikan Pemangku Raja. Dewan Santapan ini dilengkapi dengan meja santapan dan kerusi yang mampu menampung seramai 78 orang tetamu. Bahagian atas dewan ini dipadatkan dengan pelbagai koleksi set hidangan DiRaja sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar.